Lakaran kuliah tempoh hari |
Sebagai seorang pelajar yang mengikuti kursus berkaitan sukan dan rekreasi seharusnya mereka didedahkan dengan maklumat penting yang berkaitan dengan pengurusan dan pembangunan sukan di Malaysia. Memahami wujudnya dasar sukan yang menjadi tunjang utama kepada pembangunan sukan di Malaysia adalah satu wajib. Mengetahui dengan tepat agensi utama yang berkaitan dan bertanggungjawab kepada pembangunan sukan bukan menjadi soal harus tetapi wajib diketahui.
Berkesempatan menguji pengetahuan pelajar berkaitan pekara diatas, begitu mengejutkan hampir satu kelas tidak mengetahui bahawa di Malaysia ada Dasar dan juga Akta berkaitan Sukan. Bila ditanya lagi mengenai agensi berwajib yang bertanggungjawab pastinya mereka mengenali KBS, nasib baik mereka tahu. Tetapi maklumat itu hanya setakat tahu wujudnya KBS, lebih dalam mengenainya dan apakah agensi lain di bawahnya juga mengecewakan.
Bertanya pula mengenai dasar dan akta yang ada maka terlopong mulut masing-masing nak menjawabnya. Rata rata mereka yang mengikuti pengajian sukan ini tidak didedah dan diberikan pengetahuan yang secukupnya berkaitan Pengurusan dan Pembangunan Sukan di Malaysia.
Nampaknya isu ini bukan berlaku hari ini tetapi sudah berlaku sejak beberapa generasi graduan. Maka adalah menjadi tanggungjawab pihak berkaitan dengan pembangunan kursus untuk sama-sama melihat bahawa penekanan asas kepada memahami pengurusan dan pembangunan sukan di Malaysia perlu dimasukkan sebagi topik penting dalam mana-mana kursus yang dirasakan relevan seperti kursus berkaitan Pengurusan Sukan, Sejarah Perkembangan Sukan mahupun dalam Sosiologi Sukan.
Janganlah dilihat pekara asas ini sebagai soal remeh kerana ini membayangkan generasi pelajar yang mengambil jurusan sukan ini hanya perlu tahu ilmu-ilmu yang diceduk dari barat sahaja sehingga memendam pengetahuan penting berkaitan pengurusannya di Malaysia. Jika dibaca dalam salah satu initipati penting strategi dasar sukan negara dengan jelas menyatakan kewujudan kursus berkaitan sukan adalah bagi menyediakan tenaga kerja professional dalam bidang ini. Maka memahami dan menyokong aspirasi dan hala tuju Dasar Sukan Negara juga adalah satu kewajipan bagi semua mereka yang mengikuti kursus dalam bidang ini.
Comments
Post a Comment