Kesihatan dan Kecergasan adalah disiplin bidang yang memberi tumpuan kepada interaksi aktiviti senaman, pemakanan dan kesihatan. Beberapa penemuan kajian telah mendapati punca penyakit adalah disebabkan oleh gaya hidup manusia. Program secara klinikal dalam bidang ini memberikan kemudahan dan personel yang terlatih untuk menilai faktor risiko penyakit dan mencadangkan perubahan gaya hidup yang sesuai diamalkan bagi mengurangkan risiko penyakit. Penyelidikan dalam bidang ini dan fisiologi senaman menunjukkan bahawa aktiviti senaman, makanan dan pengawalan stress meyumbang kepada tahap kesihatan yang baik bagi individu.
Objektif utama pengkaji dan pengamal dalam bidang ini adalah untuk meningkat jangka hayat manusia dan kualiti kehidupan. Beberapa hasilan penyelidikan menunjukkan senaman dalam tahap biasa dapat membantu meningkat objektif yang dimaksudkan. Kajian ini juga menyatakan semua gaya hidup yang mengamalkan aktiviti dalam tahap yang sama secara kerap dapat membantu mengurangkan risiko serangan jantung ke tahap 25% atau lebih dan dalam masa yang sama menambah umur dalam jangka hayat seseorang individu.
Satu lagi objektif pengamal dalam bidang ini juga berperanan memberi perskripsi aktiviti senaman yang selamat dan berkesan. Mereka dapat mengenalpasti frekuensi, durasi dan intensiti latihan yang bersesuaian serta menepati tujuan yang dikehendaki. Pengamal ini juga sedar mengenai kesan latihan hanya akan berlaku apabila kaedahnya dilaksanakan dengan betul. Dalam latihan aerobik seseorang individu yang sihat perlu berlatih pada tahap 70% hingga 90 % kadar nadi maksimum (220-age) yang juga dipadankan dengan tahap umur individu. Satu pekara yang perlu juga kita tahu, seseorang individu itu akan menjadi lebih cergas jika mereka bersenam pada tahap intensiti yang lebih tinggi dari kebiasaan, kaedah ini membantu mereka mencapai kadar nadi yang lebih rendah apabila mereka telah mencapai tahap kecergasan yang tinggi.
Bermula pada era tahun 1980 di Amerika hospital dan pusat kecergasan
mula membangunkan aktiviti yang cenderung menerapkan budaya aktiviti
senaman sebagai kunci utama ke arah tahap kesihatan, rehabilitasi dan
produktiviti yang lebih baik. Kini di Malaysia kesedaran kepada kepentingan kesihatan dan kecergasan juga memperlihatkan trend ini sudah mula diterima dan mendapat tempat dikalangan masyarakat. Komitmen agensi berwajib dalam kepentingan kesihatan masyarakat juga dilihat amat positif bagi membudayakan kesihatan yang baik melalui aktiviti kecergasan dan fizikal.
Yop: Anima Sana in Copore Sano, "A sound mind in a healthy body."
Comments
Post a Comment