Terjumpa artikel lama yang Yop tulis sekitar tahun 2004 bertarikh 18 November di Utusan Malaysia mengenai pencarian bakat baru. Mungkin boleh dikongsikan bersama:
PENDEKATAN terhadap pembangunan sukan yang tertumpu kepada lapan
jenis sukan utama seperti dipersetujui oleh jawatankuasa Kabinet bagi
pembangunan sukan baru-baru ini adalah satu era perubahan dalam
pendekatan kerajaan sebelum ini.
Kerajaan kini dilihat mengambil tindakan yang lebih proaktif sekali
gus mengiktiraf sukan sebagai salah satu agenda penting negara.
Jika ditinjau dari aspek prestasi dan pencapaian lapan jenis sukan
ini, kebanyakannya telah mencapai tahap yang boleh dibanggakan baik di
persada antarabangsa mahupun dalam negara. Persoalan yang ingin
ditimbulkan ialah isu kegagalan mencapai kedudukan yang terbaik.
Berdasarkan pencapaian antara lima hingga sepuluh tahun dalam
sebarang kejohanan, tidak terdapat perubahan pencapaian yang ketara dari
kebanyakan dari sukan ini, walhal jika dilihat dari segi pengalaman
bermain dan persiapan dalam sebarang kejohanan merupakan satu kelebihan
yang patut dieksploitasi. Apakah sebenarnya yang membelenggu para atlet
dan persatuan sukan ini. Adakah disebabkan oleh program latihan yang
tidak mantap dan berterusan, pendekatan psikologi dan fisiologi yang
kurang berkesan ataupun mungkin berpunca dari sikap?
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN)
disarankan supaya mengkaji permasalahan yang dihadapi oleh setiap
persatuan sukan yang bakal terlibat dalam program ini terlebih dahulu
sebelum memberikan komitmen secara total kepada kesemua persatuan dan
sukan yang terlibat.
Berkemungkinan masih wujud kemelut dalam pentadbiran persatuan yang
perlu dileraikan, sikap tidak profesional para jurulatih ataupun
kebajikan atlet yang kurang dijaga perlu diambil perhatian yang serius.
Apabila kesemua permasalahan dapat diketahui puncanya dan formula
penambahbaikan dapat dihasilkan, maka sekali gus dapat melicinkan
jentera pentadbiran persatuan dan sudah pastinya kejayaan sudah hampir
dalam genggaman.
Program-program tunas cemerlang yang dilaksanakan MSN sejak sekian
lama perlu juga dipertingkatkan kapasiti dan kemampuannya. Program Tunas
Cemerlang dilihat sebagai satu platform yang berupaya melahirkan ramai
atlet berwibawa dan cemerlang dalam setiap disiplin sukan yang
dilaksanakan. Tetapi apakah kesinambungan program ini selepas atlet
tamat persekolahan.
Bagi mereka yang berjaya meneruskan pengajian ke peringkat tinggi
masih boleh meneruskan penglibatan mereka, tetapi bagi yang tidak
berjaya dan masih berbakat meminggirkan diri dan sekali gus menguburkan
bakat mereka.
Sehingga kini tiada satu program yang wujud untuk atlet yang tercicir
ini meneruskan minat mereka dalam aktiviti sukan selepas alam
persekolahan, atlet yang cemerlang dari program ini sudah tentu mewakili
negeri atau negara. Tetapi mereka yang telah diasuh bakatnya dan tidak
mewakili mana-mana pasukan ini dilihat tidak mempunyai saluran untuk
terus mengembangkan penglibatan mereka. Sesuatu perlu dilakukan bagi
menangani isu ini.
Jika kita tinjau di negara kita usaha-usaha penggalakan dan
pembangunan sukan hanya tertumpu di peringkat sekolah rendah dan
menengah serta institusi pengajian tinggi awam (IPTA). Apabila pelajar
remaja itu tamat persekolahan minat terhadap sukan sukar untuk
diteruskan, ini berdasarkan kurangnya aktiviti-aktiviti sukan yang
dijalankan di pelbagai peringkat. Justeru berlaku kekosongan di
peringkat pertengahan di mana kurangnya usaha-usaha pembangunan dan
penggalakan sukan yang berterusan. Jika permasalahan ini terus berlaku
maka generasi pelapis sukan negara juga akan menghadapi masalah
ketandusan atlet.
Remaja dan belia memerlukan saluran aktiviti yang berterusan dan
bukan mengharapkan aktiviti-aktiviti sukan yang dilaksanakan secara ad
hoc dan bermusim. Mereka tidak mempunyai saluran yang berterusan untuk
terlibat dalam aktiviti sukan yang diminati, justeru jika ada
usaha-usaha yang berterusan, kita akan mampu membudayakan sukan dalam
diri generasi muda negara.
Comments
Post a Comment